Bulan Ramadhan Semakin Hampir, mangsa banjir Kelantan masih tinggal di khemah


Lima bulan selepas banjir besar melanda Kelantan Disember lepas, beratus-ratus mangsa banjir masih tinggal dalam khemah menjelang Ramadan yang tidak sampai sebulan sahaja lagi.

Di Bandar Utama Gua Musang sahaja, 59 keluarga masih memenuhi khemah yang diseliakan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan terpaksa mengharungi cuaca panas tengahari, tanpa kepastian sampai bila keadaan itu akan berterusan.

Di Dabong, 23 keluarga masih tinggal di pusat pemindahan sementara yang serba kekurangan manakala ramai lagi yang tinggal dalam khemah di pelbagai pusat pemindahan kecil yang berada di tiga daerah utama banjir iaitu Gua Musang, Kuala Krai dan Machang.

"Agaknya rumah kami tanah kubur," kata Mohd Johari Mohd Abu, 39, yang sudah mula bosan dengan janji kerajaan, baik peringkat negeri mahu pun persekutuan, yang dibuat kepada mereka.

Mereka antara kira-kira 1,821 keluarga di Kelantan yang dikenal pasti hilang terus rumah ketika banjir besar melanda kampung mereka pagi 24 Disember 2014 itu.

Banjir itu, yang terburuk pernah dialami di Semenanjung, menyaksikan sehingga lebih 100,000 pada satu masa terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara.

Ada yang menyifatkannya "tsunami" ketika arus deras airnya menyapu rumah mereka, meninggalkan lumpur tebal selepas itu, dan merosakkan harta benda termasuk landasan keretapi di negeri itu.

Di pusat pemindahan banjir Bandar Utama Gua Musang, pada tiga bulan pertama mereka tinggal di khemah yang disumbangkan pelbagai pertubuhan antarabangsa itu, pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyediakan makan dan minum tiga kali sehari untuk mereka, walaupun lauknya hanya sardin sahaja pada setiap hari.

Namun sejak awal bulan ini, JPAM tidak lagi menyediakan makanan dan mereka terpaksa memasak sendiri, walaupun pada awalnya mereka tidak dibenarkan melakukan demikian kerana membahayakan keselamatan, memandangkan khemah itu mudah terbakar.

Bukan sahaja mereka, PAS Pusat juga nampaknya tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di negeri di bawah pemerintahan parti Islam itu.

Pimpinan tertinggi PAS turun ke Kota Baru, Kelantan baru-baru ini bagi mendengar taklimat kerajaan negeri mengenainya.


Awal tahun ini, mesyuarat bersama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengenai banjir memutuskan semua mereka yang kehilangan rumah sepenuhnya akan diberikan rumah baru secara percuma.

Putrajaya berjanji akan membina 1,221 buah rumah manakala kerajaan negeri pula berjanji akan membina satu pertiga lagi, iaitu kira-kira 600 buah rumah.
Namun hingga kini, kerajaan pusat hanya menyiapkan tujuh buah rumah manakala kerajaan negeri menyiapkan 60 buah rumah sahaja, dan ia masih menunggu diduduki.

Sebaliknya, pihak yang paling banyak menyumbang ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat melalui program tanggungjawab sosial mereka.

AmBank, misalnya, menyumbang RM1 juta ringgit untuk mangsa banjir ini. RM500,000 digunakan membina 17 buah rumah pasang siap di Kual Hau, Kuala Krai. Begitu juga Etika Takaful dan Prudential juga turut menyumbang.

Yayasan Darul Hijrah (DH) pimpinan Datuk Husam Musa, Impian Kelantan hasil kerjasama antara PAS dan DAP, Pemuda PAS, Ground Zero dan pelbagai NGO lagi turut banyak menghulur sumbangan.

Yang paling teruk, bagi mangsa banjir, selain keadaan tempat tinggal mereka sekarang, ialah ketidakpastian bila situasi mereka akan berubah.
"Mula-mula kami diberitahu, kami akan dipindah ke kem Pusat Lat
ihan Khidmat Negara (PLKN) 15 Mei lepas, kemudian 18 Mei, tapi sehingga kini kami masih di sini.

"Siang berpanas di bawah khemah, dan kalau hujan, basah kuyup, kerana khemah kami mulai bocor dan reput," kata Halizah Hassan, 31, yang mula tinggal di situ sejak Januari.
Menurutnya, pihak kerajaan berjanji menyiapkan rumah mereka tidak lama lagi.
"Mula-mula mereka janji sebelum puasa ini, selepas itu beritahu pula lepas raya. Nampaknya kami terpaksa berpuasa dan beraya di khemahlah tahun ini," kata Halizah sedih.

Menurut penghuni khemah di sini, pihak kerajaan pusat berjanji akan menyiapkan rumah yang mereka namakan Rumah Ku Li (sempena Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah) di Simpang Pulau, Gua Musang.

Kerajaan negeri pula, melalui Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) akan membina rumah mereka di Tanah Putih, Gua Musang.

Namun sehingga kini, mereka tidak nampak rumah yang dijanjikan itu akan siap segera sebagaimana dijanjikan, iaitu sebelum Ramadan yang dijangka bermula 18 Jun ini.

Selepas sebulan berpuasa, umat Islam sepatutnya bergembira menyambut Hari Raya, tetapi, bagi mangsa banjir negeri ini, buat pertama kalinya mereka perlu bersedia menghadapi kemungkinan berpuasa dan beraya dalam keadaan menyedihkan di khemah sementara ini. – 21 Mei, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

0 Response to "Bulan Ramadhan Semakin Hampir, mangsa banjir Kelantan masih tinggal di khemah"

Post a Comment