Alhamdulillah. Kelantan Laksana Hudud Mac Ini

Ahmad Yakob



  • Ahmad Yakob


  • SHAH ALAM – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini mengesahkan bahawa hukum Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 akan dilaksanakan pada Mac akan datang.

    Beliau berkata, pelaksanaan hukum hudud akan tetap diteruskan kerana ia merupakan agenda utama kerajaan negeri.

    “Agenda kebajikan kepada rakyat pasca banjir diteruskan sebagaimana jadual kerajaan dan usaha ke arah pelaksanaan kanun jenayah juga diteruskan sebagaimana jadual yang ditetapkan.

    “Kanun Jenayah Syariah ini adalah arahan ALLAH dan ia menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam menegakkannya dalam masyarakat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

    Jelas beliau, usaha pelaksanaannya mesti berjalan seiring dengan agenda kebajikan dan kemasyarakatan di negeri tersebut.

    “Tidak berbangkit soal kerajaan kena tangguhkan atau biarkan dahulu pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah ini pada masa sekarang bagi memberi laluan kepada kebajikan mangsa banjir.

    “Kewajipan ini seumpama kewajipan solat lima waktu yang tidak boleh dipertikai syariatnya. Solat wajib didirikan walaupun musibah melanda dan tidak boleh melengah-lengahkan solat apatah lagi mengesampingkannya dengan alasan untuk memberi laluan kepada semua mangsa musibah memperolehi hak kebajikan mereka secara sempurna,” katanya.

    Bagaimanapun katanya, hukum hudud ini hanya akan dilaksanakan untuk umat Islam sahaja.

    “Ia bagi mencegah pelbagai kemungkaran dan kes jenayah yang semakin berleluasa. Yakinlah, hanya undang-undang ALLAH sahaja yang mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh masyarakat hari ini sama ada dalam kes jenayah ringan atau berat,” katanya lagi.

    -sh

    0 Response to "Alhamdulillah. Kelantan Laksana Hudud Mac Ini"

    Post a Comment