Bangunan Sekolah ini berisiko Membawa Maut Kepada Pelajar!

Pita pelekat diletak di antara lantai dan dinding kelas sebagai pengukur rekahan akibat mendapan di SKTAAM, Hulu Langat, Selangor.
Pita pelekat diletak di antara lantai dan dinding kelas sebagai pengukur rekahan akibat mendapan di SKTAAM, Hulu Langat, Selangor.
“Jangan tunggu sampai ada nyawa yang terkorban, barulah nak tuding jari salahkan pihak itu dan pihak ini.
“Dah memang sah bangunan sekolah tu retak dan tak selamat untuk digunakan, kenapa pihak sekolah sanggup ambil risiko mempertaruhkan nyawa pelajar belajar di bangunan tersebut?”
Itulah kebimbangan ibubapa anak-anak yang belajar di Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Aziz Majid (SKTAAM) Hulu Langat. Telah beberapa kali disuarakan namun tidak diendahkan walaupun mendapan di sekeliling bangunan sudah cukup jelas kelihatan.
“Mula dikesan apabila seramai 80 pelajar tiba-tiba diarahkan keluar dari bangunan tersebut ketika sedang mengikuti kelas tahun lalu apabila lantai bangunan retak diikuti dengan serpihan jatuh dari bumbung.
“Bangunan itu dikosongkan selama dua minggu untuk siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi tiada kata putus diberi sama ada bangunan itu selamat diduduki atau tidak.
Papan tanda kawasan berbahaya diletakkan di luar kelas SKTAAM, Hulu Langat, Selangor (Gambar kanan)
“Mungkin kekurangan kelas, akhirnya pihak sekolah membenarkan bangunan tersebut sebagai kelas seperti biasa membelakangkan terus keselamatan pelajar yang tidak tahu apa-apa,” kata seorang bapa yang dikenali sebagai Mohd Azian Ismail.
Katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, kejadian bangunan runtuh yang mengorbankan ramai  pelajar sekolah tahfiz di Sungai Semungkis, Hulu Langat dua tahun lalu tidak sedikitpun dijadikan iktibar oleh pihak SKTAAM.
“Keadaannya sama sebab bangunan SKTAAM itu juga dibina di lereng bukit yang telah mengalami hakisan terus sejak sekian lama.
“Saya tak tahu nak kata apabila melihat kawasan tebing bangunan tersebut yang telah merekah dan mendap sedikit demi sedikit.
Bumbung pecah akibat mendapan tanah di SKTAAM, Hulu Langat, Selangor .
“Malah pada pengamatan saya, bangunan dua tingkat yang terletak bersebelahan juga sudah boleh dianggap menunggu untuk rebah berdasarkan keretakan pada lantainya,” ujanya.
Jelas Mohd Azian, sebelum peristiwa sekolah tahfiz berulang semula, ada baiknya bangunan itu dikosongkan dan dibina semula seberapa segera.
“Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) kena pandang serius perkara ini kerana ia melibatkan nyawa pelajar.
“Hakisan telah berlaku dan pihak sekolah nampak tetapi kenapa masih nak guna bangunan tersebut?” katanya.
Dinding di luar kelas turut retak.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SKTAAM, Rashid Ahmad ketika ditemui, perkara tersebut telah beberapa kali dibawa ke peringkat KPM tetapi masih belum ada tindak balas sehingga hari ini.
“Kita sudah buat yang terbaik tetapi masalah yang dikemukakan tidak diambil berat oleh pihak KPM.
“Soal keselamatan pelajar memang kami di SKTAAM pandang serius dan saya sendiri telah menyuarakan agar bangunan itu dikosongkan.
“Secara peribadi, saya sendiri tidak yakin bangunan itu selamat digunakan tetapi keputusan masih di tangan pihak sekolah,” katanya.
Lebih teruk lagi kata Rashid, bangunan tersebut tidak adalah dalam rekod JKR seolah-olah ia dibina tanpa kelulusan mana-mana pihak.
Lantai dalam bilik kelas retak akibat mendapan di SKTAAM, Hulu Langat, Selangor.
Dinding di dalam kelas menunjukkan keratakan yang membimbangkan.
Pecah sana sini akibat mendapan. Bangunan sekolah ini dipercayai dibina tanpa kelulusan pihak berwajib.
“Saya dah minta dengan JKR dan Pejabat Pendidikan Negeri (PPD) apa sahaja maklumat mengenai pembinaan bangunan tersebut tetapi tidak ada.
“JKR pun tak nak bagi hitam putih mengatakan bangunan itu selamat digunakan atau tidak kerana di dalam rekod JKR tiada sebarang maklumat mengenai pembinaan bangunan sekolah itu.
“Yang retak satu hal, bangunan yang disebelahnya pun kalau berlaku rebut kencang saya pasti akan roboh sebab dah terlalu teruk rosaknya selain hakisan yang menyebabkan dinding dan lantai sudah pun terpisah,” katanya.
Akar pokok di sekeliling bangunan telah terkeluar akibat hakisan yang ketara di SKTAAM, Hulu Langat.
Tambahnya, masalah ini tidak boleh ditangguh-tangguh lagi sebab hakisan tanah tidak siapa yang tahu setakat mana ia berlaku di dalam bumi.
"Melihatkan pada akar pokok yang terkeluar, itu sudah jelas menunjukkan hakisan sudah tidak boleh dikawal lagi dan waktunya telah tiba untuk bangunan itu dikosongkan dan seterusnya diroboh untuk membina bangunan baharu yang lebih kukuh dan selamat, katanya.

0 Response to "Bangunan Sekolah ini berisiko Membawa Maut Kepada Pelajar!"

Post a Comment