Jambatan Kampung Pulau Setelu Runtuh Dirempuh Kayu Balak




GUA MUSANG - Jambatan di Kampung Pulau Setelu di Kilometer 31.5, Jalan  Gua Musang-Jeli runtuh dirempuh puluhan kayu balak yang dihanyutkan arus deras Sungai Nenggiri dalam kejadian banjir, tiga hari lalu.

Berikutan itu, Jalan Gua Musang-Jeli terputus hubungan menyebabkan penduduk antara Kampung Pulau Setelu dan Kampung Star terpaksa berulang-alik menggunakan bot untuk menyeberangi sungai berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu iaitu pada hari pertama banjir terburuk melanda seluruh kampung Hulu Kelantan, menyebabkan air sungai berkenaan naik mendadak.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk dan pengguna jalan terbabit menyedari jambatan tersebut runtuh kira-kira jam 6 pagi, semalam, sebaik sahaja banjir surut sepenuhnya.

Dengar dentuman kuat, gegaran

Seorang penduduk Kampung Pulau Setelu, Zulkifli Ab Rahman, 44, berkata, pada hari pertama banjir besar itu, dia terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat dan merasai gegaran, kemungkinan jambatan tersebut dirempuh berpuluh balak yang dihanyutkan arus deras.

Namun katanya, ketika itu penduduk tidak begitu menghiraukannya kerana masing-masing sibuk untuk berpindah ke pusat pemindahan berikutan rumah ditenggelami banjir.

“Memang ada terdengar dentuman kuat dan ingatkan ia biasa sahaja apabila jambatan dirempuh balak yang dihanyutkan arus deras, tetapi tak sangka pula menyebabkan jambatan terpanjang di kampung kami runtuh.

“Pagi ini (semalam), baru saya bersama penduduk lain dapat melihat dengan lebih dekat keadaan jambatan tersebut sebaik sahaja banjir surut sepenuhnya,” katanya.

Terpaksa tidur dalam kereta

Sementara itu, seorang pengguna Jalan Gua Musang-Jeli, Bakri Kasim, 50, berkata, dia bersama seorang rakannya terperangkap di Kampung Kala selama dua malam hingga terpaksa tidur dalam kereta untuk pulang ke rumah di Kampung Kemubu, Dabong.

Menurutnya yang dalam perjalanan dari bandar ini, dia menjangkakan banjir hanya mengambil masa sehari sahaja untuk surut tetapi sebaliknya berlarutan sehingga tiga hari menyebabkan dia terkandas di Kampung Star pula kerana jambatan runtuh.

“Kami sangka dapat pulang ke rumah pagi ini (semalam) tetapi terpaksa berpatah balik ke bandar ini sementara menunggu banjir surut di Kampung Sungai Sam untuk pulang ke rumah melalui Sungai Sam-Dabong.

“Tidak dapat dijangka bila boleh pulang ke rumah tetapi saya bersyukur isteri bersama anak selamat berpindah ke pusat pemindahan banjir,” katanya.

0 Response to "Jambatan Kampung Pulau Setelu Runtuh Dirempuh Kayu Balak "

Post a Comment